ALOR STAR – Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang juga legenda bola sepak Kedah, Victor Andrag kecewa terhadap bekas kelabnya yang hingga kini masih gagal mencari jalan penyelesaian melunaskan baki gaji tertunggak sejak hampir satu setengah tahun lalu.
Beliau yang pernah memegang jawatan Penolong Ketua Jurulatih untuk Sang Kenari pada musim 2019 hingga 2024 sebelum ditugaskan sebagai Ketua Jurulatih (interim) bermula November 2024 berkata, tahap kesabarannya kini sudah sampai ke kemuncak.
“Saya banyak bersabar kerana hingga ke hari ini tempoh berkenaan sudah menjangkau hampir satu tahun setengah membabitkan tunggakan gaji mencecah hampir RM300,000 dan keadaan semasa perkara ini terus senyap.
“Saya ada menghantar e-mel dan pesanan teks melalui WhatsApp terus kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pada bulan lalu untuk mengetahui perkembangan tunggakan gaji saya namun saya terkejut kerana hingga ke hari ini tiada sebarang jawapan balas diterima.
“Sebagai kelab profesional, saya rasa pihak KDA FC perlu mengambil tanggugjawab dan memastikan perancangan pembayaran balik gaji tertunggak ini dapat dijelaskan kepada saya dan bukannya berdiam diri seolah tiada apa-apa yang berlaku,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.
Menurut Victor yang kini menjawat tugas sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA untuk saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini, beliau sudah berusaha dengan penuh sabar dalam menuntut baki tunggakan kepada bekas majikannya itu mengikut proses teratur tanpa mahu menambahkan lagi aib mana-mana pihak terlibat.
“Malah pada 9 November lalu saya juga sudah ada menghantar emel terus kepada Tan Sri dan minta jasa baiknya dalam sebulan untuk memberi sedikit pembayaran.
“Dengan tiada apa apa tindakan hingga kini, saya terpaksa meluahkan melalui media sosial supaya cerita ini kembali dipertimbangkan sejak sekian lama menanti dengan masih tiada perkhabaran serta senyap tanpa bayaran langsung,” katanya. – MalaysiaGazette















