KUANTAN – Seorang anggota Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong merupakan antara lima mangsa terlibat dalam nahas tiga kenderaan di kilometer 3, Jalan Bentong-Gombak, disini, malam semalam.
Dalam kejadian jam 8.20 minit itu, L/Kpl Naim Zuhair Mohammad Nazri, 23, yang memandu kereta Proton Saga Iswara cedera parah di kepala, namun kedua ibu bapanya meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan nahas itu yang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Mercedez Benze, Proton Saga Iswara dan sebuah Honda Civic.
“Siasatan awal mendapati, Mercedez Benze dipandu dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur manakala Proton Saga Iswara dan Honda Civic dari arah bertentangan.
“Semasa melalui jalan selekoh di lokasi kejadian, dipercayai secara tiba-tiba Mercedes Benze itu telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Saga Iswara di bahagian hadapan.
“Mercedez itu kemudian hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi Honda Civic terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, Azry berkata, penumpang hadapan dan penumpang belakang Proton Saga Iswara iaitu Mohammad Nazri Salleh dan Karmilawati Muhamad Yaakob, masing-masing berusia 51 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, pemandu Proton Saga Iswara pula mengalami cedera parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS) Temerloh.
Sementara itu, Azry memberitahu, pemandu kereta Mercedez Benz yang berusia 40 tahun tidak mengalami sebaran kecederaan dan telah ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan memohon mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















