Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diiringi bersama ahli keluarga hadir bagi pendengaran rayuan empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana Armada di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 DISEMBER 2025

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan dalang atau mastermind di sebalik perbuatan pecah amanah dana RM1 juta Armada yang dilakukan Penolong Bendaharinya ketika itu, Rafiq Hakim Razali.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, Ahli Parlimen Muar itu sendiri yang mengarahkan Rafiq Hakim (saksi pendakwaan ke-13) untuk mengeluarkan wang RM1 juta pada 6 Mac 2020.

Hujah beliau, keterangan SP13 yang mengaku diarah Syed Saddiq (responden) melalui panggilan WhatsApp dan seterusnya mengeluarkan dana berkenaan, merupakan fakta yang tidak dipertikaikan ketika peringkat perbicaraan.

“Kes kami adalah Syed Saddiq yang merupakan dalang atau master mind dalam perlakuan pecah amanah oleh SP13, patut dipersalahkan sepenuhnya.

“Apa yang kami perlu buktikan di sini, tanpa arahan responden, SP13 tidak akan melakukan kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan,” hujah Wan Shaharuddin.

Mahkamah tertinggi negara sedang mendengar rayuan akhir pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media diiringi bersama ahli keluarga bagi pendengaran rayuan empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana Armada di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 DISEMBER 2025

Wan Shaharuddin turut menghujahkan, hubungan Syed Saddiq dan SP13 adalah baik dan tiada sebab untuk beliau mereka-reka keterangan terhadap responden.

Hujah beliau, naratif pendakwaan ialah responden mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta kerana khuatir berlaku penukaran pucuk pimpinan Armada serta jika berlaku pergolakan dalam kerajaan.

Selain itu, katanya, Syed Saddiq menyatakan wang dalam akaun Armada adalah titik peluhnya sendiri mencari sumbangan dan beliau berhak menggunakan sepenuhnya wang dalam akaun tersebut.

Namun hujah Wan Shaharuddin, keterangan SP13 itu disokong oleh SP11 iaitu bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi yang mana ia gagal dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan.

Wan Shaharuddin selanjutnya menghujahkan, niat jahat responden boleh dilihat melalui tindak-tanduk beliau yang secara terang-terangan bermula dari episod pertama iaitu sebelum pengeluaran wang RM1 juta pada 6 Mac 2020 sehinggalah episod terakhir iaitu selepas 28 Mei 2020, apabila responden tidak memegang apa-apa jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Armada.

Hujah beliau, SP13 pula, sebagai pemegang amanah tidak sepatutnya melakukan sedemikian walaupun ia hasil daripada arahan responden kerana perbuatan itu telah menyebabkan kerugian yang salah kepada Armada.

Keterangan ini sahaja menunjukkan SP13 telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Armada dan dengan itu telah melakukan pecah amanah jenayah.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan selanjutnya membuat dapatan bahawa Syed Saddiq telah mengarahkan SP13 dan SP11 mengeluarkan wang RM1 juta milik Armada.

Wan Shaharuddin turut memohon panel tersebut membuat dapatan bahawa arahan itu dikeluarkan atas niat jahat dan dilakukan secara tidak jujur walhal pengeluaran tu bukan untuk menjalankan aktiviti atau program Armada.

“Responden ada mengarahkan SP13 `clearkan’ wang RM1 juta milik Armada ekoran tindakan SPRM masuk menyiasat rumahnya pada 31 Mac 2020 kerana khuatir wang RM1 juta itu disita,” hujah beliau.

Selebriti, Bella Astillah hadir bagi pendengaran rayuan pendakwaan berkaitan pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana Armada di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 DISEMBER 2025

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 33, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.

Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Rayuan yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, bersambung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast