KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa ejen pemungut baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak melibatkan komisen atau mengaut keuntungan disifatkan tidak menjawab persoalan asas berhubung kontroversi isu terbabit.
Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, ejen pemungut baharu JPJ itu bukan pertubuhan sukarela sebaliknya sebuah syarikat swasta yang pastinya beroperasi berasaskan keuntungan.
Menurutnya, ejen itu juga tidak akan melabur masa, tenaga, modal dan infrastruktur hanya untuk menjadi `pembantu percuma’ kepada pihak Kementerian Pengangkutan.

“Jadi, apabila Menteri Pengangkutan mengatakan ejen pemungut tidak menerima komisen, persoalannya tetap sama iaitu dari mana datangnya keuntungan mereka?
“Jika JPJ tidak membayar mereka dan kementerian tidak menyalurkan sebarang komisen, maka logiknya hanya tinggal satu sumber sahaja iaitu rakyat.
“Dan di sinilah titik kegusaran yang Menteri Pengangkutan masih tidak berani sentuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Anthony menafikan tuduhan kononnya pelantikan ejen pemungut baharu oleh JPJ melibatkan komisen atau mengaut keuntungan daripada jabatan berkenaan.
Anthony berkata, syarikat yang memohon kebiasaannya adalah platform berasaskan teknologi yang hendak memudahkan pelanggan mereka dengan menawarkan perkhidmatan JPJ sebagai perkhidmatan nilai tambahan dan harus mengembalikan 100 peratus nilai yang dikutip kepada kerajaan.
Terdahulu, Ramssol Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat itu dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.
Sementara itu, Sivaraj berkata, apabila sebuah syarikat swasta diberi akses mengutip wang awam, rakyat berhak tahu sama ada mereka akan turut dikenakan caj tambahan dan pihak mana yang mengenakan caj tersebut.
Tegas beliau, rakyat sudah melihat terlalu banyak contoh ketika fungsi kerajaan diserahkan kepada swasta yang mana mereka akhirnya perlu membayar caj perkhidmatan yang lebih.
“Anthony juga perlu menjelaskan mengapa kementeriannya memilih pendekatan ini. Jika benar tiada keuntungan untuk ejen, untuk apa mereka terlibat? Dan jika ada keuntungan, mengapa tidak dinyatakan dengan jelas sejak awal?
“Rakyat tidak meminta banyak, hanya satu penjelasan yang jujur, bagaimana ejen-ejen ini dibayar, oleh siapa, dan mengapa Kementerian Pengangkutan memilih model yang membuka ruang keraguan.
“Sehingga menteri menjawab persoalan itu, isu ini tidak akan selesai,” katanya. – MalaysiaGazette















