PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih menjalankan koordinasi dan pemantauan rapi berhubung situasi gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sambil terus merayu kedua-dua pihak agar menghentikan pertempuran yang disifatkan sebagai amat kritikal.
Menurutnya, mesyuarat Menteri-Menteri Luar yang dijadualkan pada Selasa ini terpaksa ditangguhkan susulan permintaan penangguhan kecil daripada pihak terlibat bagi membolehkan semua persiapan diselaraskan dengan lebih teratur.
“Kami masih menyelaras dan memantau. Mereka meminta sedikit penangguhan jadual mesyuarat Menteri Luar pada Selasa, jadi kita menangguhkan bagi memastikan semuanya teratur.
“Namun, kami tetap merayu supaya pertempuran dihentikan kerana keadaan ini sangat kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan majlis peluncuran buku The Man Who Could Move Mountains Reflections On The Social Activism of S.M Mohamed Idris anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sentiasa berhubung dengan pihak berkaitan secara maya hampir setiap hari bagi memastikan usaha meredakan ketegangan dapat diteruskan.
Ditanya mengenai sekatan di Teluk Thailand, Perdana Menteri menegaskan, rundingan masih berjalan.
“Kami masih berunding untuk menyejukkan keadaan,” katanya ringkas.
Kelmarin, Anwar mendedahkan beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung konflik Kemboja-Thailand.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima panggilan telefon daripada Trump yang turut membangkitkan mengenai hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar juga mengesahkan Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlanjutan sejak seabad lepas kembali tegang pada Julai dan membawa kepada pertempuran tentera selama lima hari.
Namun Kedua-dua negara kemudian bersetuju untuk gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt iaitu semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Trump.
Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini menyebabkan beberapa kematian dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Difahamkan, lebih 500,000 orang telah melarikan diri dari rumah ke kawasan selamat di Thailand dan Kemboja sejak tercetusnya semula konflik sempadan, kata kedua-dua kerajaan negara itu.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas tercetusnya pertempuran semula pada Selasa lalu yang merebak ke lima wilayah di Thailand dan Kemboja.
Kemboja juga dilapor menarik diri sepenuhnya daripada Sukan SEA 2025 ekoran konflik sempadan dengan tuan rumah Thailand itu kembali memuncak. – MalaysiaGazette
















