KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak saman Atomy Malaysia Sdn. Bhd. terhadap penceramah bebas Firdaus Wong yang didakwa memfitnahnya berkaitan kegiatan kristianisasi.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi berpuas hati, Firdaus Wong selaku defendan telah berjaya membuktikan pembelaan justifikasi serta komentar berpatutan.
Sehubungan itu, mahkamah menolak keseluruhan tuntutan yang dikemukakan oleh Atomy Malaysia (plaintif) dan memutuskan kemenangan berpihak kepada defendan.
Peguam Syahidah Hanum Mohd Ghazali yang hadir bersama peguam Norazali Nordin berkata, mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM70,000 kepada anak guam atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, plaintif merupakan sebuah syarikat ‘multi-level marketing’ (MLM) yang terlibat dalam perniagaan atas talian untuk barang-barang kosmetik, barang-barang kesihatan, barang-barang isi rumah dan sebagainya dengan menggunakan nama ‘Atomy’.
Pernyataan tuntutan menyatakan, plaintif telah memperoleh reputasi yang mantap dalam bidang perniagaan atas talian dan mempunyai kira-kira 1.6 juta ahli terdiri daripada 960,000 pengguna dan 640,000 pengedar.
Sementara defendan ialah pengasas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai ‘Multiracial Reverted Muslims’ (MRM) yang sering menyentuh soal-soal sensitif dan kontroversial berkaitan agama di laman sosial Facebook.
Beliau juga dikenali sebagai Ustaz Firdaus Wong merupakan seorang pendakwah Islam yang berpengaruh di Malaysia melalui laman media sosial terutamanya Facebook dan mempunyai sekurang-kurangnya 427,000 pengikut dalam laman itu dan sering dijemput memberi ceramah dan/atau ulasan tentang isu-isu berkaitan ajaran Islam.
Plaintif mendakwa, defendan memuatnaik sebuah video pada 30 Disember 2020 di Facebook rasminya dan memperolehi sekurang-kurangnya 29,000 tanda suka, 861 komen serta 3,900 perkongsian.
Defendan kemudiannya membuat lima kenyataan seterusnya pada 13 hingga 21 Januari dan 30 Mac 2021.
Sementara itu, Firdaus meluahkan rasa syukur susulan kemenangan dalam kes saman fitnah dihadapinya itu.
“Alhamdulillah. Allahu Akbar. Kita menang saman fitnah terhadap Atomy Malaysia. Saya akan dedahkan lebih banyak perkara yang berlaku di dalam mahkamah berdasarkan keterangan saksi-saksi,” katanya di Facebook. – MalaysiaGazette
















