KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, isu pembekuan dan penyitaan dua akaun bank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sepatutnya diputuskan melalui permohonan jenayah, bukan dalam prosiding sivil.
Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan berhujah, ini kerana isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman Bersatu, sama dengan isu dalam kes jenayah yang dihadapi oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Maka, isu tersebut perlu dihujahkan di mahkamah jenayah, bukan melalui prosiding sivil dalam semakan kehakiman,” hujah beliau.
Mahkamah sedang mendengar pemohonan semakan kehakiman Bersatu untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dua akaunnya.
Pada 29 Mei 2023, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu, memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap pembekuan kedua-dua akaun tersebut.
Nurhafizza selanjutnya berhujah, wujud kaitan antara pertuduhan terhadap Muhyiddin dan parti itu, kerana beliau didakwa dalam kapasiti sebagai Presiden Bersatu.
“Isu berkaitan pertuduhan pula bukan terhadap parti Bersatu, sebaliknya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi.
“Perintah penyitaan belum luput kerana tuduhan terhadap Muhyiddin mengatasi perintah penyitaan, sehingga dan melainkan suatu penghakiman muktamad dibuat dalam kes berkenaan,” katanya.
Terdahulu peguam Chetan Jethwani berhujah, dua akaun bank Bersatu masih tidak dapat diakses sehingga hari ini walaupun notis penyitaan oleh SPRM yang dikeluarkan pada 11 April 2023, telah lama luput.
Beliau berkata, tempoh siasatan selama 12 bulan yang diperuntukkan di bawah undang-undang anti-pengubahan wang haram telah luput.
Katanya akaun berkenaan, masing-masing di AmBank dan CIMB Islamic Bank sepatutnya dipulangkan kepada parti.
“SPRM telah membekukan dua akaun bank Bersatu pada Januari 2023 sebelum menyitanya pada April 2023, selepas Muhyiddin didakwa sebulan sebelumnya,” hujahnya.
Beliau berkata, Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) memperuntukkan had masa sekiranya orang yang terhadapnya perintah itu dibuat, tidak didakwa atas suatu kesalahan di bawah akta terbabit.
“Namun, daripada melepaskan akaun-akaun bank itu kepada Bersatu, SPRM terus secara salah menafikan akses parti itu kepada akaun banknya,” katanya.
Prosiding itu yang didengar di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman bersambung pada 3 Februari tahun depan.
Dalam semakan kehakiman itu, Muhammad Suhaimi menamakan Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.
Bersatu mendakwa pada 19 April 2023, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta AMLATFPUAA 2001. – MalaysiaGazette















