BATU PAHAT – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang janda kerana berkhalwat dengan seorang duda warga Pakistan dalam rumah di sebuah kampung di sini semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan tersebut dilakukan pukul 12.30 tengah hari hari selepas mendapat aduan awam sejurus lelaki berkenaan bertandang ke rumah wanita itu dengan kereta.
“Tiba di lokasi didapati sebuah kereta dipercayai kepunyaan lelaki di hadapan rumah. Rumah jiran berhampiran sekitar 100 meter. Dua penguat kuasa ditugaskan menjaga pintu belakang bagi menghalang sesiapa melarikan diri.
“Penguat kuasa ketuk pintu depan sambil memanggil, kemudian dibuka oleh seorang wanita berbaju kurung dan bertudung. Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan,” maklum kenyataan tersebut.
Menurut JAINJ, pemeriksaan kemudian menemui seorang lelaki berseluar panjang dan berbaju kemeja duduk atas sofa di ruang tamu sedang menonton televisyen.
Ditemui juga seorang kanak-kanak berusia lima tahun sedang main game di telefon iaitu anak kepada wanita terbabit.
Hasil soal jawab, pasangan terbabit mengaku sudah bernikah, lelaki berkenaan berumur 40-an, warga Pakistan, bekerja di sini dan mengaku berstatus duda sebelum kononnya sudah bernikah dengan wanita itu.
“Wanita pula berumur 30-an dan berstatus janda. Lelaki ini mendakwa sudah tinggal di Malaysia dalam lima tahun dan kurang mahir berbahasa Malaysia atau sengaja buat-buat tak pandai.”
Pasangan berkenaan, jelas JAINJ, gagal menunjukkan surat nikah selepas mendakwa sudah bernikah di sebuah rumah di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun mereka gagal menunjukkan surat nikah dan mengatakan surat nikah belum siap. Alasan itu tak boleh diterima sebab salinan surat nikah mesti diterima pada hari pernikahan juga.
“Apabila ditanya lanjut berkenaan pernikahan, mereka kata dinikahkan oleh kawan kepada lelaki itu. Bila ditanya adakah jurunikah itu ada tauliah, mereka tidak menjawabnya.”
Penguat kuasa turut meminta apa-apa surat yang membuktikan mereka sudah bernikah tetapi gagal mengemukakannya.
Penguat kuasa minta mereka menunjukkan gambar sewaktu pernikahan itu tetapi tiada juga sebelum ditangkap JAINJ.
“Rumah itu adalah rumah wanita dan lelaki ini datang sejak malam tadi dan lelaki tidur di sini. Rumah ini mempunyai dua bilik iaitu bilik utama yang pasangan mengaku bernikah ini tidur dan satu lagi bilik untuk anak wanita ini.
“Pemeriksaan dalam bilik wanita didapati kemas dan tersusun seperti bilik pengantin.Sebelum ini, ahli keluarga dan jiran ada bertanya kepada wanita ini kerana ada melihat seorang lelaki datang ke rumah,” katanya.
Namun wanita terbabit mengaku sudah bernikah tetapi tidak menunjukkan surat nikah dan sejak itu pasangan berkenaan semakin berani kerana menyangka jiran percaya dengan ceritanya sudah bernikah.
“Ahli keluarga tetap ragu-ragu sebab wali sendiri tidak dilibatkan. Tetapi mereka rasa tiada kuasa untuk periksa surat nikah. Sebab itulah aduan dibuat kepada Penguatkuasa JAINJ.
“Status lelaki itu kononnya duda tetapi tiada pengesahan dan tidak mustahil dia sebenarnya ada isteri di negara asal,” tambah JAINJ lagi.
Pasangan itu disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997. – MalaysiaGazette















