Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Ismadi.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan pengekalan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan ibarat `peluang kedua’ untuk membuktikan kemampuan melaksanakan reformasi pendidikan negara.

Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, pengekalan itu juga bagi memastikan dasar dan polisi pendidikan berlandaskan Dasar Pendidikan Negara dapat dirasai lebih menyeluruh serta tiada pencemaran terhadap hala tuju pendidikan negara.

Selain itu, ujarnya, pelantikan Dr. Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru berusia 29 tahun disifatkan sebagai isyarat jelas oleh kerajaan bahawa had umur belia telah dinoktahkan.

Menurut beliau, pelantikan Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani itu menunjukkan kerajaan memberi kepercayaan kepada kepimpinan muda untuk membawa suara anak muda.

Dalam masa sama, ujarnya, pelantikan itu memperkukuh penglibatan belia dalam pembangunan negara serta memastikan aspirasi generasi muda terus diangkat dalam dasar-dasar pembangunan.

“GPMS menggesa agar tempoh baki lebih kurang dua tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya (oleh Jemaah Menteri baharu) untuk memperkukuh dasar, program dan pelaksanaan yang memberi impak nyata kepada rakyat khususnya generasi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhd Fazreen menambah, sebagai organisasi pelajar dan belia yang aktif, GPMS akan terus menilai dan memantau gerak kerja kementerian-kementerian yang merupakan rakan strategik khususnya dalam pelaksanaan program dan dasar yang berkaitan pendidikan, belia dan kebajikan mahasiswa.

Ujarnya, pemantauan itu bukan untuk menuding jari, tetapi sebagai jaminan dan dorongan agar setiap inisiatif memberi kesan positif dan berkesinambungan.

“GPMS percaya bahawa kepimpinan yang bersedia mendengar, mengambil maklum dan bertindak dengan tuntas akan memperkukuh keyakinan rakyat serta membina asas yang lebih kukuh bagi masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast