Para peserta yang terlibat dalam Seminar Perniagaan Malaysia–Kemboja pada November 2025.

KUALA LUMPUR – Export Acceleration Mission (EAM) ke Kemboja yang disertai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) selama dua hari berakhir 27 November lalu merekodkan jumlah jualan sebanyak RM41.29 juta hasil daripada 104 pertemuan perniagaan yang diatur antara pengeksport Malaysia dan pembeli dari Kemboja.

Rekod ini sekali gus mencerminkan minat yang kukuh terhadap produk Malaysia merentasi pelbagai sektor.

Matrade dalam kenyataan berkata, pencapaian ini didorong oleh permintaan bagi barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), makanan dan minuman, produk penjagaan diri dan detergen, input pertanian seperti baja, serta produk berasaskan petroleum.

Setiausaha Negara di Kementerian Perdagangan Kemboja, Sim Sokheng dalam Seminar Perniagaan Malaysia–Kemboja berkata, negara itu mahu meningkatkan import dari Malaysia serta menyampaikan aspirasi kerajaan bagi meningkatkan perdagangan dua hala kepada AS$1 bilion menjelang akhir tahun 2025.

Sehingga Oktober 2025, Malaysia telah mencatatkan nilai perdagangan sebanyak AS$960 juta dengan Kemboja, sekali gus meletakkan kedua-dua negara pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran tersebut.

Penglibatan perdagangan Malaysia di Kemboja menunjukkan momentum positif sejajar dengan peningkatan kuasa beli pengguna, pertumbuhan kelas pertengahan dan permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan import berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.

Menurut Matrade, misi tahun ini telah mengukuhkan lagi peranannya sebagai pemudah cara utama dalam menghubungkan perniagaan Malaysia dengan rakan strategik dalam sektor runcit, pengedaran dan bekalan industri di Kemboja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast