PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, perkara yang dikemukakan oleh peguam bela Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) telah dibangkitkan dan dibicarakan sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.
AGC, merujuk kepada kenyataan dibuat oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam, dalam kes perbicaraan No. WA-45-(7 & 8)-11/2018, yang dikenali sebagai kes 1MDB.
Menurut AGC, perbicaraan kes berkenaan telah berlangsung dari 28 Ogos 2019 hingga 4 November tahun ini dan semua isu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan telah dihujahkan serta dipertimbangkan sepanjang proses perbicaraan tersebut.
AGC turut memaklumkan mahkamah telah menetapkan 26 Disember depan sebagai tarikh penyampaian keputusan di akhir kes pembelaan.
“AGC komited untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan undang-undang serta bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu.
AGC itu merujuk kepada kenyataan dibuat oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam, dalam kes perbicaraan No. WA-45-(7 & 8)-11/2018, yang dikenali sebagai kes 1MDB.
Semalam, dalam satu sidang media, Muhammad Shafee mendakwa anak guamnya tidak diberi perbicaraan yang adil dalam perbicaraan kes 1MDB.
Beliau mendakwa, terdapat kekangan tertentu berkaitan pembentangan bukti yang menurutnya berpotensi membantu pembelaan namun tidak dapat dikemukakan sepenuhnya di mahkamah.
Muhammad Shafee mendakwa timbul persoalan berhubung hak Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil, namun menegaskan kenyataan pihaknya bukan bertujuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah yang dijadualkan Isnin hadapan. -MalaysiaGazette
Shafee persoal Roger Ng beri maklumat kepada penyiasat tapi tidak di mahkamah
















