GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – DAP Melaka memandang serius dan melahirkan kebimbangan berhubung arahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) supaya tiada hiasan Krismas dibenarkan di hotel dan premis makanan yang diperakui halal di negeri itu.

DAP Melaka dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu memberi kesan negatif kepada para usahawan serta menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Menurutnya, Melaka menerima pelbagai pelawat dari dalam dan luar negara dan adalah amalan biasa bagi hotel-hotel dan premis makanan di Malaysia untuk mempamerkan ucapan serta hiasan mengikut musim perayaan termasuk Hari Raya; Deepavali; Tahun Baharu Cina dan Hari Krismas.

Ujarnya, hiasan perayaan tidak sepatutnya menjadi isu kerana Malaysia ialah sebuah negara majmuk dan amalan meraikan kepelbagaian budaya serta hari perayaan telah lama menjadi asas keharmonian dan perpaduan negara.

“Merujuk kepada insiden pada tahun 2023 di mana JAKIM menjelaskan bahawa tiada halangan bagi mana-mana kedai kek bersijil halal menulis sebarang bentuk tulisan berkaitan ucapan Merry Christmas pada kek atau seumpamanya, DAP Melaka menyeru JAIM supaya mengambil pendirian yang selari dengan semangat keputusan tersebut bagi meraikan kepelbagaian masyarakat di Malaysia khususnya di negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu, tular sepucuk surat di dalam media sosial yang didakwa daripada JAIM berkenaan pemakluman berkaitan dekorasi sempena musim perayaan Krismas di hotel dan premis makanan yang dipersijilkan halal di negeri itu.

Kandungan surat itu antara lain menjelaskan mengenai keputusan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Negeri Melaka pada 31 Oktober lalu iaitu bersetuju sebulat suara tidak membenarkan dekorasi hiasan sambutan Krismas di dapur dan/atau di outlet mana-mana hotel yang dipersijilkan halal di Melaka.

Ia kerana menurut surat itu, ia merupakan perayaan keagamaan dan bukan kebudayaan yang boleh menimbulkan isu-isu berkaitan akidah.

Bagaimanapun, surat itu menjelaskan, tiada halangan kepada mana-mana pihak pengurusan hotel untuk membuat hiasan di mana-mana kawasan hotel yang tidak dipersijilkan halal.

Sementara itu, DAP Melaka menyeru Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk menjelaskan perkara tersebut dengan segera serta mengambil tindakan sewajarnya.

Ujarnya, ia bagi mengelakkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, keyakinan pelabur dan imej Melaka sebagai negeri pelancongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast