Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diteruskan mengikut jadual pada 14 hingga 17 Januari 2026 selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambilkira kelonggaran khas kepada perwakilan dari Sabah, berikutan pertindihan tarikh dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri berkenaan.

“Perhimpunan Agung UMNO tetap diteruskan seperti ditetapkan. Namun perwakilan dari Sabah diberi kelonggaran sama ada hadir secara fizikal atau mengikuti perhimpunan secara dalam talian memandangkan tarikh tersebut berada dalam tempoh kempen PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Produk dan Perkhidmatan Inovasi Tinggi di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda hari ini.

Mengulas sentimen politik yang dibangkitkan kebelakangan ini, Asyraf Wajdi berkata, isu pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) tidak wajar dipandang ringan khususnya apabila dikaitkan dengan permainan sentimen perkauman oleh pihak tertentu.

Menurutnya, perkara itu perlu dinilai secara menyeluruh kerana melibatkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional menegaskan, kepentingan memastikan kebajikan serta hak Bumiputera di bandar terus dipelihara selaras dengan jaminan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri.

“Perdana Menteri telah memberi penjelasan dan jaminan termasuk berkaitan Wilayah Persekutuan yang kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sebarang tindakan berkaitan hal ehwal wilayah perlu dirujuk kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata, isu melibatkan Wilayah Persekutuan sememangnya memerlukan penelitian rapi dan akan diperhatikan secara dekat oleh pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan dibuat.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menegaskan, tumpuan ketika ini wajar diberikan kepada bencana banjir yang sedang melanda negara khususnya di Pahang yang dijangka turut memberi kesan kepada negeri lain.

“Saya rasa lebih baik kita fokus kepada musibah yang sedang melanda ketika ini,” katanya.

Beliau menegaskan, keutamaan semua pihak adalah memastikan bantuan segera dan kebajikan mangsa bencana diberi perhatian, berbanding memanjangkan polemik politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast