Kredit: PDRM

SEREMBAN – Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Mambau di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata insiden pada 9.34 malam itu melibatkan sebuah Proton Waja dan dua motosikal jenis Honda yang ditunggang oleh mangsa masing-masing berusia 41 dan 46 tahun.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah daripada motosikal terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar cermin sisi Proton Waja dan merempuh motosikal di belakang kereta itu.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azahar berkata mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast