JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyifatkan sikap segelintir pemimpin DAP, khususnya Yeo Bee Yin sebagai keterlaluan dan tidak matang apabila menjadikan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan sindiran dalam media sosial.
Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, jika benar DAP hormat institusi dan semangat Kerajaan Perpaduan, tidak perlu tunjuk kelakuan tidak sensitif yang langsung tidak menjaga perasaan rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan soal politik murahan, ini soal adab dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan. Isu berkaitan mahkamah bukan pentas untuk cari likes, shares atau populariti segera tapi malangnya, itulah yang kita lihat isu serius dijadikan konten, seolah-olah penderitaan, proses undang-undang dan emosi rakyat boleh dijadikan bahan sindiran politik,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum untuk membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan.
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, UMNO Johor ingin bertanya secara terbuka mengapa pemimpin DAP begitu galak bercakap soal menghormati undang-undang tapi dalam masa sama sibuk mempermainkan proses yang sedang berjalan.
“Ini namanya cakap tak serupa bikin. Lebih kelakar, apabila mereka yang talian hayat politiknya makin tak relevan, tiba-tiba jadi paling bising. Bila sokongan rakyat makin menyusut, isu mahkamah dijadikan pelampung untuk kekal timbul,” katanya.
Bidasnya, politik semacam itu bukan sahaja murahan tapi memualkan rakyat dan jika DAP betul-betul ikhlas mahu mempertahankan kerajaan Perpaduan maka hentikan budaya menyindir, memperlekeh dan bermain api dengan isu sensitif.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara mengingatkan DAP agar tidak merosakkan kerjasama hanya kerana mahu kekal relevan di mata segelintir penyokong sendiri.
“UMNO tak perlu cari populariti murahan. Kami fokus kerja, jaga rakyat dan bina kestabilan dan yang lain itu, biarlah rakyat nilai siapa yang matang, siapa yang sekadar bising.,” ujar Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu.- MalaysiaGazette
















