Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Imran Tamrin bercakap selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 DISEMBER 2025

PUCHONG – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mendesak agar Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya semalam terhadap Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, permohonan maaf itu harus dibuat Bee Yin dalam masa 24 jam.

“Permohonan maaf ini perlu dibuat secara jelas dan juga terbuka.

“Kita juga menuntut untuk posting tersebut diturunkan dalam tempoh 24 jam supaya tidak lagi menimbulkan satu suasana tidak baik  yang menggambarkan perkara yang tidak tepat dan tidak betul,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bee Yin di sini hari ini.

Poster yang memaparkan karikatur Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin pada sesi penyerahan memorandum bantahan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 DISEMBER 2025

Mohd Imran yang turut ditemani lebih 100 Pemuda UMNO sekitar Selangor bertindak menyerahkan memorandum bantahan terhadap Bee Yin.

Memorandum dua muka surat itu rata-ratanya mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Bee Yin semalam.

“Kami membantah sekeras-kerasnya kenyataan Bee Yin yang bersifat menyindir, memperlekeh dan seolah-olah meraikan kesusahan pihak lain khususnya melibatkan proses kehakiman yang masih tertakluk kepada hak dan ruang perundangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamed berkata, sekiranya desakan untuk meminta maaf secara terbuka itu gagal dipenuhi Bee Yin maka UMNO Bahagian Puchong akan memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong serta-merta.

“Ia selaras dengan pendirian mempertahankan maruah parti, menghormati institusi Raja-Raja Melayu, serta menolak budaya politik angkuh dan mencabar prinsip asas perpaduan negara,” katanya pada sidang media yang sama.

Bee Yin daripada DAP semalam memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.

Hantaran itu dimuat naik selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast