KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) membantah tindakan Polis Kelantan merujuk kes-kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam, seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan kes rogol itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya meletakkan kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama tidak selaras dengan mandat yang sepatutnya dijalankan, malah berisiko menjejaskan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

“SUHAKAM menghormati sepenuhnya kedudukan dan peranan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia, kebimbangan utama dalam perkara ini ialah kepentingan terbaik, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak yang seharusnya kekal sebagai keutamaan dalam pengendalian semua kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“SUHAKAM menegaskan bahawa rogol statutori terhadap kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang serius dan harus disiasat serta didakwa oleh PDRM mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah yang terpakai,” katanya dalam kenyataan.

Tambah SUHAKAM, Malaysia sebagai negara yang berpihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) wajib memastikan semua kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi dan penderaan seksual.

Selain itu menurutnya kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka.

“Oleh itu, rogol statutori perlu ditangani sebagai suatu kesalahan jenayah serius terhadap kanak-kanak melalui proses yang sah di sisi undang-undang, sensitif terhadap kanak-kanak dan mematuhi prinsip hak asasi,” katanya lagi.

Terdahulu suruhanjaya itu menegaskan tanggungjawabnya untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta menasihati kerajaan mengenai penyelarasan undang-undang, dasar dan amalan dengan jaminan perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa selaras Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/12/24/tindakan-polis-rujuk-jaheaik-kes-rogol-suka-sama-suka-selaras-peruntukan-sedia-ada/

Baru-baru ini, media melaporkan seorang remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol melalui hubungan ‘suka sama suka’ akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata langkah yang berkuat kuasa Oktober lalu itu dilaksana susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meminta PDRM bekerjasama dengan JAHEAIK bagi menangani isu berkenaan.

Tindakanberkenaan kemudian dipersoal sebahagian pihak yang mendakwa ia sepatutnya terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Ada yang berpendirian ia sebagai tindakan diskriminasi apabila umat Islam di Kelantan menerima layanan berbeza berbanding di negeri lain.

Mengulas lanjut suruhanjaya itu menegaskan tidak sekadar menumpukan hukuman, sebaliknya kes melibatkan kanak-kanak perlu mengutamakan aspek perlindungan, pemulihan dan intervensi sosial.

“Kanak-kanak dalam system keadilan, termasuk dalam kes yang melibatkan hubungan rakan sebaya secara sukarela, tidak boleh dikenakan langkah-langkah yang mengabaikan status mereka sebagai pemegang hak di bawah CRC dan undang-undang domestik,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast