Azizee Ismail.

BUTTERWORTH – Polis mengesahkan lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes ibu kandung dan adik angkatnya yang maut dalam kebakaran di kediaman sewa di Taman Rathna di sini, pada 10 Disember lalu akan didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan perkara tersebut.

“Kertas siasatan yang lengkap berhubung kes itu telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri (PPN). Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek juga berdepan pendakwaan dalam masa terdekat,” katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan suspek yang juga anak lelaki kepada mangsa direman sehingga 25 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Memetik Azizee berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod perubatan psikiatri dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Polis sebelum ini mengklasifikasikan kematian dua mangsa terbabit sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan forensik kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Selain itu, jenazah mangsa, Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an serta anak angkat perempuannya masih belum dapat dituntut dan dikebumikan kerana perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam kejadian 9.45 pagi pada 10 Disember lalu mayat kedua-dua mangsa ditemui rentung dalam keadaan bersebelahan pada jarak kira-kira satu meter di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah berkenaan.

Anak lelaki wanita tersebut pula selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan selepas dihempap bumbung kediaman itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast