GEORGE TOWN – Seorang pendaki lelaki terpaksa diusung turun oleh pasukan bomba selepas mengalami kecederaan pada kaki ketika melakukan aktiviti pendakian di Trek 335, Bukit Jambul di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 pagi.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.17 pagi.
“Sebaik tiba, kita dapati mangsa berusia 28 tahun mengalami kecederaan terseliuh di bahagian kaki semasa menjalankan aktiviti pendakian.
“Rawatan awal diberikan di lokasi sebelum mangsa dibawa turun menggunakan pengusung khas,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mangsa berjaya diturunkan ke kaki bukit pada jam 12.17 tengah hari sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi melibatkan tujuh anggota termasuk penyelia dengan bantuan dua jentera iaitu sebuah CFRT dan sebuah EMRS, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.21 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazette















