KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan mengapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bertindak ke atas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang dilaporkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) dan tidak menyokong Mohd Shukri Ramli.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, Bersatu sepatutnya panggil 5 orang tersebut dan dapatkan pengakuan daripada mereka.
“Adakah benar mereka tandatangan SD tersebut? Kalau tidak, Bersatu keluarkan kenyataan kadar segera mengatakan semua ADUN Bersatu tidak pernah tandatangan SD dan kekal menyokong kepimpinan YAB Cikgu Shukri dan akan terus pertahankan Kerajaan Negeri Perlis.
“Namun sekiranya benar 5 orang ADUN Bersatu telah tandatangan SD tersebut, seperti mana Pas telah bertindak, Bersatu juga perlu bertindak segera terhadap ADUN mereka.
“Jika enam ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu boleh digugurkan, dan dalam kes ADUN tu, Bersatu hantar surat kepada Speaker Kerajaan Kelantan untuk kosongkan kerusi, kenapa dalam kes Perlis ni tak boleh?,” katanya.
Nurul Islam mendakwa, tindakan lima orang ADUN Bersatu ini adalah secara jelas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional Perlis, sekali gus satu bentuk sabotaj terhadap Menteri Besar Pas.
Tetapi, kalau Bersatu gagal bertindak terhadap lima orang Adun ini, ia akan memberikan signal yang salah.
Bersatu akan dilihat merosakkan perpaduan dalam Perikatan Nasional dan kelemahan Bersatu dalam mendisiplinkan ahli dan wakil rakyatnya sudah tentu akan dilihat kelemahan kepimpinan Bersatu. – MalaysiaGazette
















