KUALA LUMPUR – Konflik politik di Perlis dilihat peluang terbaik untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mentadbir sebuah negeri, kata Datuk Puad Zarkashi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Pas perlu bersifat ‘gentleman’ dengan menyerahkan kerajaan Perlis untuk ditadbir oleh Bersatu kerana kedua-duanya adalah parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN)
“Mustahil Bersatu akan memecat lima ADUN Bersatu yang tarik sokongan itu. Ini peluang terbaik Bersatu dapat mentadbir satu negeri. PAS patut gentleman.
“Lepaskan sahaja kepada Bersatu. Jangan biarkan pentadbiran negeri tergantung. Utamakan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun menurut Puad, perkara itu tidak akan dicapai sekiranya Pas dan Bersatu berpecah.
“Tetapi dijangkakan banyak lagi drama tikam menikam akan berlaku. Cuma ia tidak menyebabkan MN hidup balik. UMNO sudah şerik,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh mencadangkan supaya Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan UMNO dan Pas dihidupkan semula.
Cadangan tersebut mendapat reaksi yang agak positif daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shari. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Konflik politik Perlis: Akmal cadang hidupkan semula MN, bubar PN
















