KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor kecewa dengan kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang secara terang-terangan menafikan serta membutakan mata terhadap krisis besar dalam Perikatan Nasional (PN).
Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kenyataan Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid seolah-olah sayap Bersatu itu dalam sindrom penafian.
Kenyataan itu hanya melukakan lagi keadaan yang diibarat mencurahkan garam ke atas luka yang sedang membarah.
Kata beliau, Armada Bersatu sepatutnya menerima hakikat bahawa parti ini telah melanggar garis merah persahabatan dalam Perikatan Nasional dan mengambil tindakan dengan mendesak pucuk pimpinan Bersatu agar segera mengakui kesilapan dan ambil tindakan secara terhormat dalam kadar yang segera.
“Menafikan pengkhianatan yang berlaku secara terbuka ini hanyalah akan membuatkan pendukung Pas di seluruh negara kecewa, marah dan berpatah arang berkerat rotan dengan Bersatu.
“Armada tidak boleh berpura-pura naif dengan krisis dalaman ini kerana hakikatnya Bersatu telah menjadi bidak catur sebahagian pihak sehingga berjaya merealisasikan punca berlakunya ketidakstabilan PN di negara ini ibarat retak menanti belah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, dalam kenyataannya, Harris Idaham berkata, isu sebenar dalam landskap politik semasa bukan soal membubarkan mana-mana gabungan, sebaliknya kegagalan segelintir pihak memahami realiti politik dan keperluan membina kekuatan secara matang serta berprinsip.
Lantaran itu, beliau berkata, tiada keperluan untuk membubarkan apa-apa dan pendirian sayap tersebut konsisten.
“Sekiranya ketika menjadi pembangkang Armada boleh meredai pengkhianatan dalaman yang berlaku hari ini, apa jaminan Armada berupaya untuk tegas berprinsip bersama dengan keadilan di saat kita dalam kerajaan nanti?,” soal beliau.
Lantaran itu, katanya, sudah tiba masanya Pas Pusat merampas tampuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN) demi menyelamatkan perjuangan ini di peringkat nasional.
Dakwanya, ia kerana Bersatu telah hilang maruah dan prinsip mereka, selain telah khianat dan sedang membawa PN ke arah kehancuran. – MalaysiaGazette
Tak perlu bubarkan PN untuk hidupkan semula Muafakat Nasional – Armada















