Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar

KUALA LUMPUR – Di sebalik naratif dikhianati dan menjadi mangsa yang dicanang sesetengah pihak, timbul dakwaan bahawa Pas sebenarnya bertindak terlalu gelojoh dalam menguruskan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar mendakwa, tindakan drastik Pas memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka bersandarkan khabar angin mengenai kewujudan Akuan Bersumpah (SD) adalah langkah yang tidak mempunyai pengabsahan rasmi daripada pihak istana.

“Dalam konteks ini, saya melihat Pas jump the gun lebih awal. Walaupun khabar angin kata ada lapan ADUN menandatangani SD tetapi sebenarnya tidak ada titah yang keluar secara rasmi daripada pihak istana.

“Pengelola Istana tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi sebenarnya tindakan itu lebih merujuk kepada peletakan jawatan Menteri Besar iaitu Mohamad Syukri Ramli,” katanya dalam program bual bicara Skop MG.

Hisomudin turut berkata, tuduhan Bersatu merampas kerusi Menteri Besar Perlis sebagai tidak masuk akal.

“Bersatu berada dalam dilema besar demi menjaga keharmonian hubungan dengan institusi diraja. Apabila pihak istana meminta nama calon Menteri Besar, Bersatu tidak mempunyai pilihan selain mematuhi titah tersebut bagi mengelakkan tuduhan ‘sembah derhaka’.

“Parti dan istana ini saya rasa dilemanya ada pada Bersatu. Bersatu menghadapi dilema sekadarnya titah untuk memohon menghantar nama.

“Sepatutnya dua-dua (Pas dan Bersatu) ini berbincanglah, tetapi oleh kerana mekanisme perbincangan Perikatan Nasional (PN) itu sudah tidak wujud, itulah yang berlaku di Perlis,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Hisomudin turut mempersoalkan sikap Pas yang secara terbuka mengumumkan tidak akan menerima sebarang pelantikan jawatan Exco di bawah kepimpinan Menteri Besar daripada Bersatu.

“Saya sifatkan ia sebagai keangkuhan dengan tindakan Pas seolah-olah satu isyarat perang terhadap keputusan yang telah diperkenankan oleh Raja Perlis.

“Hakikatnya, saya tidak tahu kita nak kata ini adakah keangkuhan ataupun kepentingan Pas yang gagal dilunturkan sedikit untuk memastikan mereka juga perlu menghormati institusi raja di Malaysia ini.

“Isyarat (boikot Exco) ini sebenarnya jika dibaca selapis lagi, ia adalah pertentangan sikap pendirian Pas dengan titah Raja Perlis.

“Hakikatnya untuk menjawab soalan ini, Pas adalah pencatur dalam krisis ataupun polemik yang berlaku sekarang,” tegasnya.

Hisomudin mendakwa, kemelut yang melanda Perlis seolah-olah mengesahkan ‘perkahwinan’ politik antara Pas dan Bersatu kini berada di fasa paling retak di mana kepentingan parti dilihat jauh lebih dominan berbanding semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional.

“Hanya retak menanti belah. Meminjam Prof Awang Azman, retak menanti belah tak ada pilihan. Saya rasa ini hanya menunggu saat-saat dibawa ke mahkamah syariah untuk diselesaikan perceraian di antara Bersatu dan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast