Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) mengesahkan ketua jurulatih Yeoh Kay Bin mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama pasukan itu kerana mahu mencari cabaran baharu pada tahun depan.

Team LZJ dalam satu kenyataan berkata, kehadiran Kay Bin sangat penting dalam struktur pasukan, khususnya memberikan sokongan kepada pemain perseorangan lelaki negara Zii Jia yang melalui musim mengecewakan selepas mengalami pelbagai kecederaan.

“Tidak ada apa yang perlu saya perkatakan selain rasa hormat yang setinggi-tingginya kepada Kay Bin, yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang setahun ini. Saya sudah belajar banyak perkara baharu daripadanya, dan saya juga berasa kecewa kerana tidak mendapat banyak peluang untuk membuktikan apa yang telah kami usahakan dalam latihan.

“Oleh sebab itu, saya memahami hasrat Kay Bin untuk mencari cabaran baharu demi dirinya sendiri dan saya mendoakan yang terbaik buat beliau,” kata Zii Jia dalam kenyataan hari ini.

Biarpun tidak menyambung kontraknya, Kay Bin bersetuju untuk terus berada di sisi Zii Jia bagi menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang akan berlangsung dari 6 hingga 11 Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Kay Bin dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu pada Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast