Nurulhidayah dan Dr Akmal. - Kredit FB Ddiy Putra.

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, menolak sebarang cubaan membina naratif kononnya wujud konflik peribadi antara beliau dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Anak kepada Presiden UMNO itu menegaskan hubungan mereka tidak pernah bersifat peribadi apatah lagi bermusuhan.

Sebaliknya ia berpaksikan semangat kekeluargaan dan keikhlasan dalam perjuangan UMNO sambil menyifatkan tindakan memutar belit kenyataan sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan akar umbi parti.

“Hubungan saya dengan Datuk Akmal Saleh tidak pernah bersifat peribadi, apatah lagi bermusuhan. Apa yang saya sampaikan adalah teguran berlandaskan keprihatinan, seperti seorang kakak menasihati adiknya, demi kebaikan parti dan perjuangan yang kami sama-sama cintai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Namun, Nurulhidayah meluahkan rasa kesal apabila kenyataan beliau telah dipetik daripada ‘sumber’ tertentu lalu diputar belit sehingga membentuk naratif palsu seolah-olah wujud pergeseran dalaman dalam UMNO.

Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai satu budaya penulisan yang berbahaya kerana lebih mementingkan sensasi berbanding kebenaran, sekali gus mencemarkan usaha penyatuan parti.

“Ini bukan sahaja tidak adil, malah mencerminkan budaya penulisan yang mengejar sensasi, bukan kebenaran,” katanya lagi.

Isnin lalu, Nurulhidayah menegur Akmal susulan kelantangannya dalam menyentuh soal hala tuju parti.

Nurulhidayah memberi respons sedemikian berikutan desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu supaya partinya menilai semula kedudukan dalam kerajaan Perpaduan dan mahukan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula.

Mengulas lanjut Nurulhidayah berkata, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam politik, namun memutar belit niat serta fakta adalah satu bentuk kezaliman terhadap wacana dan perjuangan parti.

“Perbezaan pandangan itu lumrah. Tetapi memutar belit niat dan fakta adalah satu kezaliman wacana,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan menuntut kejujuran dan keberanian untuk saling menegur, bukan tunduk kepada persepsi luar yang cuba memecah-belahkan saf kepimpinan UMNO.

“Saya yakin Akmal sendiri memahami bahawa dalam perjuangan, kita perlukan kejujuran, bukan gema sorakan semata-mata. Kita perlukan keberanian untuk menegur sesama sendiri, bukan membiarkan pihak luar menentukan naratif kita,” katanya lagi.

Mengulas perkembangan terbaharu, Nurulhidayah memaklumkan bahawa beliau dan Akmal telah bertemu dalam suasana harmoni pada majlis resepsi anak Ketua Menteri Melaka, sekali gus menamatkan segala spekulasi.

“Alhamdulillah hari ini kami bertemu di majlis resepsi anak Ketua Menteri Melaka. Akmal dengan penuh budi bahasa datang dan menyapa saya di meja.. ‘Kakkk..’ saya balas.. ‘Akak faham. Kita jer faham..’” katanya.

Beliau menegaskan episod itu membuktikan hubungan mereka kekal utuh dan matang, serta mencerminkan nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang kekuatan UMNO.

“Inilah keluarga UMNO. Semoga Allah terus pelihara kasih sayang kami sebagai pejuang UMNO yang pastinya sebuah perjalanan yang tidak mudah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast