JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan mesin pengimbas bagasi mini (MBS) dalam usaha membantu memperkukuhkan aktiviti eksport buah durian ke China.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, inovasi bersama rakan strategik industri, Billion Prima Sdn. Bhd. berasaskan teknologi pengimejan membolehkan analisis struktur dalaman buah dilakukan dengan lebih tepat tanpa menjejaskan fizikalnya.
“Proses ini secara tidak langsung akan membantu pengusaha durian memastikan ‘raja buah’ itu dalam keadaan berkualiti dan memenuhi spesifikasi yang diperlukan untuk tujuan eksport ke luar negara.
“Mesin ini menggunakan teknologi sinar-X berasaskan karbon nanotube (CNT), yang membolehkan pengambilan imej dari pelbagai sudut dengan pantas. Sistem ini lebih kecil, stabil dan sesuai untuk eksperimen di makmal.
“Pengimbasan durian dilakukan menggunakan dua tahap tenaga sinar-X, iaitu tenaga rendah dan tenaga tinggi, bagi meningkatkan kejelasan struktur dalaman. Pendekatan ini membolehkan pembezaan yang lebih jelas antara isi durian, biji dan ruang udara di dalam buah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan mesin MBS di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim di sini semalam.
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Billion Prima, Lee Yuh Jiunn.
Mohd. Shafry berkata, teknologi itu diadaptasi daripada sistem pengimbasan keselamatan lapangan terbang dan telah diubah suai bagi membolehkan pemeriksaan hasil pertanian khususnya buah durian.
Katanya, pendekatan itu membolehkan analisis struktur dalaman buah dilakukan dengan lebih tepat tanpa menjejaskan fizikalnya sekali gus membuka potensi baharu dalam penyelidikan pertanian, jaminan kualiti dan inovasi agroteknologi.
Setiap pengimbasan menghasilkan imej tiga dimensi (3D) lengkap dalam tempoh kira-kira 30 saat termasuk proses pengimejan dan pembinaan semula imej.
“Imej 3D yang terhasil kemudiannya digunakan untuk menganalisis struktur dalaman durian, seperti mengenal pasti dan mengukur ruang biji serta bilangan biji.
“Kita bercadang untuk membentang projek ini kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mendapat pengiktirafan sebelum dikomersialkan dengan lebih meluas,” katanya.
Dalam pada itu, Pengusaha Dusun Durian Landak, Abd Hadi Ahmad Sani berkata, teknologi tersebut meningkatkan keyakinan pengusaha durian selain mengelak daripada menanggung kerugian setelah hasil eksport ditolak kerana terdapat buah yang rosak.
“Dengan adanya teknologi ini, kita dapat saring buah durian yang rosak atau berkualiti sebelum dieksport ke luar negara. Kita pun tidak perlu risau buah durian akan ditolak,” ujarnya.- MalaysiaGazette















