JOHOR BAHRU – Cadangan membawa Pas menyertai Kerajaan Perpaduan perlu diperhalusi dengan mengkaji dan mengambil kira sejarah parti itu semasa berada dalam gabungan politik sebelum ini yang sering membawa masalah.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, ia kerana terdapat beberapa contoh yang boleh diambil pengajaran semasa Pas menyertai pelbagai gabungan politik sebelum ini.
“Saya tertarik dengan cadangan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor supaya Pas menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebuah kerajaan yamg hari ini dianggotai hampir semua parti utama kecuali Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
“Namun begitu, suka saya ingatkan sejarah politik negara menunjukkan Pas sering menjadi punca ketegangan dan perpecahan dalam gabungan yang mereka sertai.
“Bermula dengan Barisan Alternatif diikuti Pakatan Rakyat dan kini PN, hampir semuanya berakhir dengan konflik dalaman, percanggahan keputusan dan pertukaran arah politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadhli Umar berkata, antara episod yang masih segar dalam ingatan ialah tindakan Pas yang enggan menerima cadangan untuk menamakan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor satu waktu dahulu.
Dakwanya yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, tindakan tersebut merupakan satu langkah yang hampir mencetuskan krisis politik besar di negeri tersebut.
Katanya, corak politik sebegitu yang sukar menerima konsensus dan sering bertembung dengan rakan sendiri, wajar dijadikan pengajaran sebelum sebarang langkah ke hadapan dipertimbangkan.
Dalam masa yang sama, ujarnya, Anwar sebagai Perdana Menteri telah membuktikan keupayaan beliau membawa kestabilan selepas kecamuk politik berpanjangan sejak Langkah Sheraton pada 2020 yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pas.
“Kestabilan inilah yang mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara, memperkukuh nilai ringgit sebagai antara mata wang paling stabil di Asia serta mengekalkan kadar inflasi pada tahap yang sangat rendah.
“Ironinya, selepas usaha PN untuk menjatuhkan kerajaan gagal, gabungan itu sendiri berdepan perpecahan dalaman sehingga menyaksikan pemimpin utama mereka meletakkan jawatan,” katanya.
Menurut beliau, tidak dapat dinafikan ada pandangan menyuarakan kebimbangan bahawa kemasukan Pas ke dalam Kerajaan Perpaduan mungkin memberi kesan terhadap kedudukan Amanah.
Namun pengalaman dan perjalanan politik Amanah sendiri menunjukkan parti itu berdiri atas asas yang kukuh, berprinsip dan konsisten, katanya.
“Amanah yang pernah diperkecilkan suatu ketika dahulu bukan sahaja kekal malah telah menyambut ulang tahun sedekad penubuhannya pada tahun lalu,” katanya.
Kekuatan Amanah tidak bergantung kepada siapa yang masuk atau keluar daripada kerajaan tetapi pada nilai, konsistensi dan komitmen terhadap rakyat.
“Sehubungan itu, saya secara peribadi mengalu-alukan cadangan yang dilontarkan oleh rakan-rakan AMK Selangor. Namun peringatan saya jelas, jangan kita melupakan pengalaman dan sejarah lalu.
“Politik menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan kejujuran dalam membina kepercayaan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















