FB Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu mengisytiharkan daerah itu dilanda bencana banjir pada malam tadi.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan serta maklumat lapangan yang diterima daripada agensi-agensi berkaitan.

“Sehubungan dengan itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana Kota Kinabalu telah diaktifkan bertempat di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Orang awam boleh menghubungi talian hotline pusat itu 088-210 011 atau 088-239 681 untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkenaan bencana sekitar Kota Kinabalu.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan beberapa jalan di Kota Kinabalu tidak boleh dilalui akibat banjir kilat malam ini, antaranya Jalan Tongkuzu, Jalan Ulu Kionsom 1, Jalan Undan, Jalan Likas Industries, Jalan Rampayan dan Jalan Gudon.

“Setakat ini tiada jalan alternatif yang boleh dilalui pengguna jalan raya. Pengguna diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelak menggunakan jalan itu,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir di Beaufort bertambah kepada 300 orang daripada 108 keluarga malam ini, berbanding 282 orang daripada 102 keluarga petang tadi.

“Semua yang terjejas ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon. Sebanyak tujuh kampung terjejas banjir di Beaufort,” katanya dalam kenyataan lain.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast