RM2,000 mungkin sekadar angka di atas kertas undang-undang, tetapi bagi ramai rakyat, jumlah itu bersamaan sebulan belanja dapur. Justeru, apabila perbuatan membuang sampah kecil di tempat awam kini boleh membawa kepada denda besar serta Perintah Khidmat Masyarakat, persoalan yang wajar ditanya bukan sekadar tentang ketegasan hukuman, tetapi tentang sejauh mana masyarakat benar-benar bersedia dan dimaklumkan untuk mematuhinya. Mulai 1 Januari 2026, perbuatan membuang sampah kecil di tempat awam tidak lagidianggap kesalahan remeh.
Di bawah peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hinggaRM10,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam. Langkah ini diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai usaha mengekang isu pembuangan sampah kecil yang terus mencemarkan ruang awam negara.
Pada dasarnya, pengenalan Perintah Khidmat Masyarakat ini mencerminkan perubahan pendekatan negara dalam mendidik masyarakat. Selama ini, hukuman berbentuk denda kewangan menjadi instrumen utama penguatkuasaan. Namun hakikat masalah ini masih berulang menunjukkan pendekatan tersebut belum benar-benar berkesan. Apabila nasihat, kempen kesedaran dan papan tanda larangan gagal mengubah tingkah laku, negara terpaksa mencari mekanisme yang lebih mendalam sifat pendidikannya.
Berbeza dengan denda yang boleh dibayar dan dilupakan, Perintah Khidmat Masyarakat menuntut penglibatan peribadi pesalah. Kerja-kerja seperti mengutip sisa pepejal,mencuci kawasan awam atau membersihkan persekitaran memaksa individu berhadapan secara langsung dengan kesan perbuatan mereka. Hukuman dalam bentuk ini bukan sekadar penalti fizikal, tetapi pengalaman pembelajaran yang boleh menanam kesedaran dan rasatanggungjawab yang lebih berpanjangan. Dari sudut sosial dan psikologi, pendekatan ini membawa mesej yang lebih halus.
Melaksanakan kerja kebersihan di ruang awam, walaupun secara terkawal dan berjadual, boleh menimbulkan rasa segan dan refleksi diri. Ia bukan bertujuan memalukan, tetapi menyedarkan bahawa tindakan kecil yang sering dianggap biasa sebenarnya memberi kesankepada masyarakat keseluruhan. Dalam konteks ini, Perintah Khidmat Masyarakat berfungsi sebagai cermin yang memantulkan sikap kita terhadap kebersihan dan ruang bersama.
Namun demikian, keberkesanan dasar ini tidak boleh diukur melalui ketegasan hukuman semata-mata. Ia perlu disokong oleh sistem yang adil dan menyeluruh. Isu seperti kecukupan tong sampah, kekerapan kutipan sisa dan penyelenggaraan kawasan awam perludiberi perhatian yang sama serius.
Sukar untuk menuntut disiplin tinggi daripada masyarakat jika persekitaran awam sendiri dibiarkan kotor dan tidak terurus. Undang-undang yang baik memerlukan ekosistem sokongan agar keadilan benar-benar dirasai, bukan sekadar dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, persoalan kesedaran awam tidak boleh dipandang ringan. Walaupun membuang sampah merata-rata sememangnya salah, realitinya masih ramai yang belum benar-benar mengetahui bahawa kesalahan tersebut kini boleh membawa kepada denda sehingga RM2,000, selain Perintah Khidmat Masyarakat.
Tanpa penyampaian maklumat yang meluas dan berterusan, penguatkuasaan yang tegas berisiko menimbulkan persepsi tidak adil, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dalam suasana ekonomi semasa, jumlah denda tersebut bukan angka kecil bagi kebanyakan rakyat.
















