KLUANG – Seorang penunggang maut manakala isteri dan bayi lelakinya cedera parah selepas motosikal mereka hilang kawalan dikejar seekor anjing di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Simpang Renggam, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 28 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Benelli TNT300 bersama-sama isterinya dan bayi lelaki berusia satu tahun lapan bulan
“Siasatan mendapati mereka dari arah Tasik Machap menuju ke kawasan perumahan Taman Murni sebelum motosikal dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing.
“Motosikal tersebut kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Scania yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat perlanggaran tersebut, penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, isteri mangsa yang juga berusia 28 tahun dan bayi mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini dengan ambulans.
Bahrin berkata, kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan hospital berkenaan.
Menurut beliau, pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, telah menjalani ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan didapati negatif dadah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, berwaspada serta mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang 07-7784222 atau 07-7766822.- MalaysiaGazette
















