Subbarow bersama Datuk Bandar MBPP, Rajendran pada program Tanam Sayur Anda Sendiri untuk Generasi Masa Depan di Pulau Pinang di sini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia menjadikan amalan menanam sayur-sayuran sendiri bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dan membina generasi yang lebih peka terhadap alam sekitar.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV. Subbarow berkata, seruan itu dibuat bersempena penganjuran program “Tanam Sayur Anda Sendiri untuk Generasi Masa Depan”, satu inisiatif pertanian bandar yang menekankan kehidupan lestari, pemerkasaan komuniti dan pendidikan alam sekitar.

Katanya, sudah sekian lama CAP memperjuangkan pertanian bandar sebagai pendekatan transformatif yang bukan sahaja dapat mengurangkan kos sara hidup, malah meningkatkan akses kepada makanan segar dan berkhasiat, di samping mengeratkan hubungan dalam komuniti.

“Kami menggalakkan keluarga, guru dan pelajar menanam sayur-sayuran, herba serta tanaman boleh dimakan walaupun di ruang yang terhad, menggunakan kaedah kreatif dan lestari.

“Penggunaan semula bekas seperti botol, kotak susu dan tin membolehkan tanaman seperti bendi, terung, cili, sayuran berdaun, pudina, pegaga dan selom ditanam dengan mudah untuk kegunaan keluarga.

“Langkah ini dapat menyediakan sumber makanan segar yang bebas bahan kimia, selain mengurangkan kebergantungan kepada bekalan pasaran,” katanya pada program berkenan.

Terdahulu program berkenaan dirasmikan Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Ir. Rajendran sebagai simbol komitmen bersama ke arah melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan mempunyai kemahiran hidup praktikal, termasuk berkebun.

Mengulas lanjut Subbarow turut menekankan peranan penting sekolah dan guru dalam memupuk pendidikan alam sekitar melalui aktiviti berkebun dan pembelajaran secara langsung.

Kata beliau, melalui pengalaman menanam sendiri, pelajar dapat memahami pertumbuhan tanaman, pertanian lestari dan kitaran semula jadi, sekali gus membina kesedaran awal mengenai perubahan iklim dan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar.

“Inisiatif itu juga relevan dalam menangani cabaran semasa petani tempatan termasuk peningkatan kos input, cuaca tidak menentu, banjir dan kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan pengeluaran serta harga makanan.

“Setiap benih yang ditanam merupakan langkah kecil tetapi bermakna ke arah Malaysia yang lebih hijau, sihat dan lestari, selain menjadi warisan nilai tanggungjawab kepada generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast