ling tian soon
Ling Tian Soon

KUALA LUMPUR – Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) diminta supaya menilai gesaan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berhubung kedudukan dan hubungan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan dari sudut pandang yang lebih luas demi kepentingan serta masa depan BN.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon menegaskan, gesaan Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia semalam selari dengan pendirian Pemuda MCA sebelum ini.

Tian Soon menjelaskan, pendirian tersebut turut dizahirkan dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Ke-3 Perwakilan Pusat Pemuda MCA Penggal Ke-26 pada 6 Disember lalu yang menegaskan MCA wajar menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan sekiranya ketidakadilan terhadap masyarakat terus dibiarkan berlarutan.

“Bukan sahaja kebiadaban pemimpin-pemimpin DAP yang berterusan menghina mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malah mereka juga dilihat gagal mentadbir negara dengan baik walaupun telah diberi peluang berada dalam Jemaah Menteri sebagai pembuat dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan, MCA kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik asalkan ideologi dan perjuangan gabungan tersebut selari dengan prinsip MCA.

“Kerjasama itu mestilah berlandaskan pendekatan sederhana, mendokong Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk ekstremisme,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast