KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen hari atas kesalahan menyebut perkataan menghasut dengan mendakwa keputusan institusi kehakiman dikawal kerajaan, tiga tahun lalu.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.
Mahkamah memerintahkan bekas Ketua Penerangan Bersatu itu dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara yang setimpal dan berkesan.
“Hukuman berbentuk denda semata-mata tidak memadai memandangkan ia tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
“Tertuduh bukan seorang individu biasa kerana beliau merupakan seorang ADUN dan pemimpin politik yang dipilih rakyat yang memegang amanah awam.
“Hukuman denda sahaja berpotensi dilihat sebagai satu beban tanpa memberi kesan pencegahan yang sebenar,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili ahli politik itu merayu anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara.
Menurutnya, Razali telah menabur jasa dalam politik di negara ini.
“Pemenjaraan maksimum 12 bulan atau denda lebih daripada RM2,000 akan menyebabkan dia hilang kerusi DUN sekali gus menyebabkan PRK terpaksa dijalankan.
“Ini akan merugikan banyak pihak termasuk perbelanjaan kerajaan,” katanya yang hadir bersama peguam Mohd Radzlan Jalaludin, Mohd Sahrilnizam Mohd Amin, Hasshahari Johari Mawi, Mohd Tajuddin Abd Razak dan Muhammad Ridhwan Jalaludin.
Semasa perbicaraan kes bermula September 2025, masing-masing empat saksi pendakwaan dan pembelaan termasuk tertuduh hadir memberi keterangan.
Pada 24 November 2023, Exco kerajaan Terengganu itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut iaitu menyentuh keputusan institusi kehakiman ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Kesalahan didakwa dilakukan di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara jam 9.30 hingga 11.30 malam, 10 November 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















