Op Optik dilaksanakan di sebuah gudang penyimpanan di Klang dan pejabat syarikat berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,112 unit peralatan disyaki tidak diperakui bernilai kira-kira RM1 juta disita menerusi operasi pemeriksaan (Op Optik) ke atas sebuah syarikat yang beroperasi di Klang dan Petaling Jaya, baru-baru ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, antara peralatan yang disita termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) dan beberapa peralatan sokongan operasi premis termasuk komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.

MCMC turut mendapati bahawa aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.

Katanya, Op Optik dilaksanakan susulan maklumat risikan hasil kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM, dengan penglibatan seramai 69 pegawai yang mengambil masa selama 19 jam, bermula dari pukul 12.00 tengah hari hingga 4.00 pagi.

Seramai 40 individu telah diambil keterangan awal, manakala sembilan Notis Kehadiran telah dikeluarkan kepada individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.

“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal, selain boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga (3) tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast