KENYATAAN media Pas Negeri Sembilan berhubung isu penulisan fitnah.

KUALA LUMPUR – Pas Negeri Sembilan menegaskan budaya fitnah tidak boleh dibiasakan dalam mana-mana bentuk penulisan khususnya apabila melibatkan individu dan institusi yang mempunyai tanggungjawab awam.

Ketua penerangannya, Ismail Mahat berkata, kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan fitnah.

Apatah lagi apabila ia boleh mencemarkan reputasi individu, merosakkan keharmonian masyarakat serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan pentadbiran negeri.

Sehubungan itu, katanya, Pas Negeri Sembilan menggesa semua pihak, khususnya pengamal media dan penulis politik, agar berpegang kepada etika kewartawanan, prinsip keadilan dan kebenaran serta menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

“Pas Negeri Sembilan kekal komited untuk mempertahankan nilai integriti, akhlak dan keadilan dalam wacana awam, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha membudayakan fitnah demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Yang Dipertua Pas Kawasan Seremban, Rosmin Adam bersedia meneruskan tindakan saman sivil berjumlah RM1 juta terhadap dua defendan iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua Editor Akhbar Kita, Ahmad Shahir Mohd Shah serta Akhbar Kita.

Menurut Rosmin, tindakan saman itu diambil bukan atas dasar dendam sebaliknya bagi menegakkan kebenaran, mempertahankan maruah serta memastikan budaya fitnah dan penyalahgunaan media tidak terus berleluasa.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya memandang serius sebarang penulisan yang bersifat mengelirukan, berprasangka serta tidak berasaskan fakta yang sahih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast