Md Israk Abdullah

JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyeru semua pihak agar bergerak ke hadapan secara matang dan konstruktif dengan menghormati berhubung keputusan kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, tindakan tersebut adalah perlu demi kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara secara keseluruhan.

Beliau berkata, semalam Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah pun memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung kes itu selepas siasatan lanjut dan penilaian menyeluruh dijalankan.

“Keputusan tersebut merupakan satu penentuan yang dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, hasil proses siasatan dan penelitian yang berpanjangan serta mengikut kerangka perlembagaan dan perundangan negara.

“Ia menandakan penutupan rasmi terhadap prosiding yang telah melalui pelbagai peringkat penelitian oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan tersebut sebelum itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati walaupun kes berkenaan didakwa mereka mempunyai bukti kukuh untuk diteruskan dan seterusnya disabitkan.

Menurut Md Israk, sepanjang tempoh proses tersebut, Presiden UMNO itu telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan.

Pendekatan itu mencerminkan prinsip penghormatan terhadap institusi kehakiman serta keyakinan bahawa sebarang pertikaian mesti diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.

“UMNO Johor menegaskan bahawa keputusan AGC ini wajar dihormati oleh semua pihak selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Katanya, sebarang perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan dalam bentuk pertikaian terhadap keputusan institusi perundangan yang berfungsi secara bebas dan profesional.

“Dalam konteks yang lebih luas, UMNO Johor melihat keputusan ini penting untuk memulihkan keyakinan terhadap proses keadilan negara serta memastikan perbahasan awam kekal rasional, berfakta dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Polemik berpanjangan hanya akan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara, dakwanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast