Graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) AAGBS, UiTM, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil pada majlis Graduasi dan Apresiasi UiTM di Shah Alam, 12 JANUARI 2026.

SHAH ALAM – Seramai 38 graduan Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Anugerah Tamat Kedoktoran sebagai pengiktirafan kecemerlangan akademik dan penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang berkaitan perniagaan.

Mereka merupakan sebahagian daripada 200 graduan yang diraikan pada Majlis Graduasi dan Apresiasi Kecemerlangan Akademik Pelajar bagi sesi 2024/2025 yang berlangsung di Shah Alam pada Isnin.

Dekan AAGBS, UiTM, Profesor Dr. Norzanah Mat Nor berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan graduan pascasiswazah yang memiliki daya saing global serta memenuhi keperluan industri.

 Profesor Dr. Norzanah Mat Nor 

“Ini selari dengan hasrat universiti menuju ke arah globally renowned and locally rooted. Pelajar sama ada MBA atau DBA bergerak dengan hasrat untuk connect, engage dan advance dengan komuniti dan industri.

“Kebanyakan pelajar kami datang dari industri. Mereka pelajar matang, selain membawa ilmu praktikal dan dalam masa sama berkongsi pengalaman dengan pelajar sepenuh masa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan berharap agar graduan AAGBS terus menyumbang kepakaran dalam pembangunan industri dan negara.

Salah seorang graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, beliau bersyukur berjaya menamatkan pengajian lima tahun itu dengan sokongan berterusan daripada keluarga.

Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil 

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) itu berkata, kajiannya mengenai komersialisasi industri peranti perubatan di Malaysia mendedahkan pelbagai cabaran yang menghalang negara muncul sebagai pengeluar peranti perubatan utama.

“Saya percaya kepada pembelajaran ketika bekerja kerana ia berkait langsung dengan tugasan profesional dan memudahkan pemahaman,” katanya.

“Dalam bidang PhD saya mengkaji Commercialisation of Medical Device iaitu mengapa Malaysia belum berjaya menjadi pengeluar peranti perubatan. Melalui penyelidikan ini saya dapat mengenal pasti cabaran dan cadangan yang boleh dibentangkan kepada kerajaan,” jelasnya.

Berpengalaman lebih 18 tahun dalam industri perkhidmatan kesihatan, Dr. Siti Ainol berkata, APSB kini telah mengemukakan beberapa cadangan kepada agensi kerajaan berkaitan penubuhan Biomedical Park sebagai lokasi pembangunan peranti perubatan negara.

“Itulah sumbangan terbesar kajian saya kepada negara,” katanya yang turut melahirkan penghargaan kepada Pengarah Urusan APSB, Shamsulbahrin Ludin kerana sentiasa memberi dorongan kepadanya untuk menyempurnakan ijazah kedoktoran tersebut.

Dr. Sharizan Sharkawi 

Sementara itu, Koordinator (Strategik & Transformasi), AAGBS, Dr. Sharizan Sharkawi yang berperanan sebagai penyelia memuji ketekunan Dr Siti Ainol menjayakan penyelidikan yang jarang dibuat di Malaysia di sebalik pelbagai kekangan.

Katanya, tidak banyak syarikat yang berjaya mengkomersialkan peralatan perubatan dan Dr Siti Ainol mengambil cabaran tersebut untuk mengenal pasti punca dan solusi terbaik termasuk kerangka kerja untuk dicadangkan kepada pihak tertentu seperti Kementerian Kesihatan.

“Semoga dapatan daripada penyelidikan Dr Siti Ainol dapat menolong lebih ramai SME tempatan,” katanya.

AAGBS, sebagai sekolah perniagaan pascasiswazah UiTM, menawarkan program Sarjana MBA, DBA dan PhD dalam bidang perniagaan.

Majlis Graduasi dan Apresiasi UiTM di Shah Alam, 12 JANUARI 2026.

Institusi tersebut berperanan penting dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berupaya memenuhi keperluan industri di peringkat global.

AAGBS kini berada dalam kelompok elit 6 peratus sekolah perniagaan terbaik di peringkat global dan menjadi sebahagian daripada 1,047 institusi yang diakreditasi di 67 buah negara.

Kejayaan berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai peneraju dalam bidang pendidikan perniagaan di peringkat antarabangsa.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast