KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa berdegil mahu meneruskan projek penternakan babi berskala besar walaupun berdepan bantahan awam meluas serta kebimbangan serius berkaitan kesihatan awam, pencemaran alam sekitar dan keharmonian sosial wajr ditentang sekeras-kerasnya.
Pemangku Ketua Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Mohd Izwan Zainal berkata, keputusan itu mencerminkan pendekatan pentadbiran yang terpisah daripada realiti kehidupan rakyat khususnya komuniti luar bandar yang terkesan secara langsung akibat pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut beliau, keputusan penting dibuat tanpa penglibatan bermakna rakyat sedangkan kesan jangka panjang seperti risiko kesihatan, pencemaran alam sekitar, ketegangan sosial dan kemerosotan kualiti hidup terpaksa ditanggung penduduk setempat.
“Ini bukan tadbir urus yang bertanggungjawab sebaliknya kegagalan moral dalam kepimpinan apabila suara rakyat diketepikan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Izwan menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor tidak seharusnya berlindung di sebalik istilah teknikal seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), teknologi hijau atau kawalan moden bagi mempertahankan projek yang didakwa tidak adil kepada rakyat.
“Jika projek ini benar-benar selamat dan tidak membawa masalah, maka bina sahaja berhampiran kediaman pihak yang meluluskannya. Keengganan berbuat demikian hanya mengukuhkan persepsi bahawa projek ini sememangnya berisiko,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Selangor tidak wajar dijadikan medan ujikaji dasar yang cacat sambil menegaskan, rakyat bukan bahan eksperimen dan kawasan kampung tidak seharusnya dijadikan zon buangan bagi projek yang ditolak masyarakat.
Menurutnya, isu tersebut melangkaui soal penternakan semata-mata sebaliknya melibatkan prinsip keadilan sosial apabila keuntungan hanya dinikmati segelintir pihak manakala risiko dipikul oleh rakyat.
Mohd Izwan turut mendakwa kewujudan ladang babi di kawasan terpencil tetapi masih berpenghuni merupakan modus operandi lama yang memberi kesan langsung terhadap penurunan nilai hartanah penduduk setempat.
“Apabila nilai tanah merudum, penduduk terpaksa menjual tanah mereka pada harga jauh lebih rendah. Ini adalah strategi halus tetapi kejam untuk mengusir penduduk asal secara senyap sebelum tanah tersebut diperoleh pihak berkepentingan pada harga murah,” katanya.
Wira Putra menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya segera menilai semula pendirian, mendengar suara rakyat serta bertindak demi kepentingan kesihatan awam, keharmonian sosial dan kelestarian jangka panjang negeri. – MalaysiaGazette
















