KUALA LUMPUR – Tawa dan keterujaan jelas terpancar pada wajah 86 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Judah, Pulau Carey apabila mereka diberi peluang merasai pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah menerusi Projek SULAM anjuran Centre for Continuing Education (CCE), Sunway College Kuala Lumpur.
Program lawatan sambil belajar itu membawa murid-murid berkenaan meninjau suasana kampus moden Sunway College selain menyertai aktiviti interaktif di Sunway Lagoon Theme Park, sekali gus membuka perspektif baharu mengenai dunia pendidikan dan masa depan mereka.

Program sehari itu merupakan sebahagian daripada Projek Service-Learning Malaysia, University for Society (SULAM) yang dirangka sejak awal 2025, dengan penglibatan seramai 133 peserta terdiri daripada murid, guru, ibu bapa, pelajar Sunway College serta pensyarah CCE.
Majlis pelancaran program dirasmikan oleh Pengarah CCE Sunway College, Prof Madya Dr. Yazilmiwati Yaacob bersama Penyelaras SULAM CCE, Mohamed Nadzri Mohamed Sharif.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan inklusif serta peranan institusi pengajian tinggi dalam mendekati dan memperkasa komuniti, khususnya masyarakat Orang Asli.
Sepanjang lawatan di Sunway College, murid-murid diperkenalkan kepada persekitaran kampus, kemudahan pembelajaran dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pendedahan itu bertujuan menyemai keyakinan diri, merangsang kreativiti serta mencetuskan aspirasi masa depan dalam kalangan mereka.

Sementara itu, aktiviti rekreasi di Sunway Lagoon pula menekankan nilai kerjasama, keberanian dan semangat ingin tahu, menjadikan pembelajaran lebih santai dan bermakna melalui pendekatan belajar sambil berseronok.
Program berkenaan turut mendapat sokongan Sunway Lagoon Theme Park dan beberapa penaja lain, hasil inisiatif pelajar CCE yang mengikuti kursus SULAM di bawah modul Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU).
Antara sumbangan disalurkan termasuk peralatan sekolah, beg, pakaian, alat tulis, buku serta komputer riba untuk pelajar terpilih.
Usaha itu bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah memberi suntikan motivasi kepada murid Orang Asli untuk terus menimba ilmu dengan lebih yakin.
Sebelum ini, projek SULAM turut dilaksanakan di Kampung Sungai Judah melalui sumbangan keperluan asas kepada penduduk sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti setempat.

Penglibatan pelajar Sunway College Kuala Lumpur dan Sunway College Velocity dalam projek ini mencerminkan peranan pendidikan tinggi dalam melahirkan pelajar berjiwa sukarelawan dan bertanggungjawab sosial, selari dengan matlamat SULAM untuk membentuk agen perubahan dalam masyarakat.
Program itu juga menjadi penghargaan kepada murid SK Sungai Judah yang menunjukkan kehadiran konsisten serta pencapaian baik dalam akademik dan kokurikulum, sekali gus menegaskan komitmen Sunway College dalam menyokong pembangunan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan yang inklusif dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette















