Asisten Komisioner Tan Seng Lee,

KULAI – Seorang penyelia kilang kerugian RM668,800 selepas terpedaya dengan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud selepas dijanjikan keuntungan dalam masa 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun membuat laporan polis semalam mendakwa menjadi mangsa sindiket yang pelaburan saham tidak wujud itu.

“Terdahulu, pengadu berminat membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan antara 10 peratus hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam.

“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam aplikasi JBS Shop milik pengadu.

“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, pengadu kemudian membuat 25 transaksi pembayaran berjumlah RM668,800 ke dalam 17 akaun bank tempatan bermula 28 November 2025 hingga 6 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat semakan dalam akaun JBS Shop miliknya dan mendapati keuntungan yang diperoleh sebanyak US$ 102,303.64.

Bagaimanapun katanya, mangsa mendakwa apabila ingin membuat pengeluaran wang dalam akaun terbabit, akaun itu didapati telah disekat.

“Pengadu kemudian mengesyaki dia telah ditipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu pelaburan tidak wujud.

Pada masa sama, beliau menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast