Kereta dan peralatan mencuri yang dirampas daripada dua lelaki melakukan kegiatan mencuri kabel di Jalan Sakeh, Muar, hari ini

MUAR – Dua lelaki kempunan menikmati hasil curi apabila diberkas polis ketika memotong kabel dan tidak sempat melarikannya dalam kejadian di Jalan Sakeh, Lorong Mansur di sini awal pagi tadi

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, perbuatan kedua-dua suspek berusia 30 dan 58 tahun yang mencurigakan dan sedang memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM) itu disedari orang awam pada pukul 4.29 pagi.

Katanya, mereka menghubungi talian kecemasan 999 sebelum Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang sedang bertugas bertindak pantas bergegas ke lokasi.

“Pasukan URB Zon Alfa IPD Muar itu tiba di lokasi dan berjaya menahan dua lelaki tersebut serta membuat rampasan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya merampas sebuah kereta Proton Saga, keratan kabel TM, alat pemotong kabel dan alatan yang digunakan untuk melakukan jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan boleh dikenakan pengawasan sehingga tiga tahun.

Menurut Raiz Mukhliz, kedua-dua suspek telah direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka dalam kes kecurian kabel yang lain di daerah ini.

Pasa masa sama, pihaknya merakamkan penghargaan kepada orang awam kerana menyalurkan maklumat segera yang membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras jenayah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast