JOHOR BAHRU – Tidak berlaku kes penderaan terhadap dua kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di Taman Daya di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan ada menerima laporan berkaitan insiden itu berkata, sebelum itu, dua kanak-kanak itu yang dikatakan didera seorang wanita mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu cucu dan nenek.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) kerana tiada unsur penderaan.
“Kita mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kebimbangan tentang keselamatan kanak-kanak yang berlaku pukul 10.20 pagi kelmarin di Taman Daya.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka ada talian kekeluargaan iaitu nenek dan dua cucu yang telah dijaga sejak lahir.
“Tiada unsur penderaan dan tiada kecederaan terhadap kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada masa sama, Raub turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.
Terdahulu, tular satu hantaran dalam media sosial yang melaporkan dua kanak-kanak didera seorang wanita di tempat awam di Taman Daya di sini.
Hantaran itu bagi mengesan ibu bapa kanak-kanak berkenaan.
Dalam hantaran itu, dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia kurang daripada dua tahun dipukul dengan selipar selain turut dicekik dan dicubit. – MalaysiaGazette
















