Kekuasaan Allah SWT mengatasi segala yang difikirkan oleh manusia termasuklah perkara mukjizat yang dianugerahkan kepada para rasul. - Gambar hiasan

BULAN Rejab amat sinonim dengan peristiwa agung yang berlaku kepada diri Nabi Muhammad SAW iaitu Israk dan Mikraj. Ia merupakan salah satu mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang berlaku setelah kewafatan insan-insan yang disayangi oleh Baginda SAW iaitu Abu Talib dan Saidatina Khadijah R.A. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal, bahkan suatu peristiwa agung yang mengandungi mesej akidah, ibadah dan ketundukan mutlak kepada kekuasaan Allah SWT. Dalam era sains dan teknologi moden, timbul persoalan sama ada peristiwa Israk dan Mikraj bercanggah dengan sains atau sebaliknya boleh difahami melalui pendekatan saintifik.

Israk merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Manakala, mikraj adalah peristiwa Nabi SAW naik ke langit sehingga Sidratul Muntaha sebagaimana dirakam dalam Surah An-Najm ayat 13 hingga 18 yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi; Di sisi ‘Sidratul-Muntaha’ yang di sisinya terletak syurga ‘Jannatul-Makwa’ (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ‘Sidratul Muntaha’ itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga; Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas; Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya”.

Kekuasaan Allah SWT mengatasi segala yang difikirkan oleh manusia termasuklah perkara mukjizat yang dianugerahkan kepada para rasul. Mukjizat ialah perkara luar biasa yang berlaku dengan kehendak Allah SWT dan tidak terikat dengan hukum alam biasa. Oleh itu, mukjizat tidak bergantung kepada sains untuk dibuktikan. Sains hanya berperanan membantu kefahaman manusia terhadap sesuatu peristiwa tanpa menafikan keimanan terhadap wahyu. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 85 yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan:”Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. Ayat ini menegaskan ilmu manusia adalah terbatas.

Apabila membincangkan berkaitan Israk dan Mikraj, ia melibatkan dua aspek iaitu masa dan jarak. Sains moden memperkenalkan konsep kelajuan tinggi seperti kelajuan cahaya yang memungkinkan perjalanan jarak jauh dalam masa yang sangat singkat. Teori relativiti pula menjelaskan bahawa masa tidak bersifat mutlak dan boleh berubah mengikut keadaan tertentu. Selain itu, sains juga membincangkan kewujudan dimensi dan alam yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia. Konsep-konsep ini membantu memberikan gambaran awal tentang bagaimana peristiwa Israk dan Mikraj tidak mustahil berlaku dengan kehendak Allah SWT.

Walaupun sains membantu kefahaman, ia tetap mempunyai batasan. Hakikat perjalanan yang jauh dan panjang yang berlaku dalam satu malam sahaja, Sidratul Muntaha, syurga dan neraka termasuk dalam perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh kajian saintifik. Oleh itu, peristiwa Israk dan Mikraj perlu difahami berdasarkan keimanan kepada wahyu, bukan semata-mata eksperimen sains.

Antara hikmah utama Israk dan Mikraj ialah pensyariatan solat sebagai hubungan langsung antara hamba dan Allah, pengukuhan iman Nabi Muhammad SAW, pengiktirafan kedudukan Masjidil Aqsa serta penegasan bahawa kekuasaan Allah SWT melampaui batas akal manusia.

Israk dan Mikraj merupakan mukjizat agung yang melangkaui hukum alam biasa. Sains tidak mampu membuktikannya secara mutlak. Peristiwa ini mengajar umat Islam bahawa iman mendahului logik, manakala wahyu mengatasi batasan akal manusia.

Dr. Rozaini Othman & Zaiton Din
Pensyarah UiTM Cawangan Pulau Pinang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast