Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyeru semua pihak berotoriti patuh atas titah Sultan Selangor yang murka mengenai isu program ‘Glamping with Pride’ dan kontroversi penternakan babi di Tanjong Sepat Kuala Langat.

Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu menzahirkan keprihatinan baginda dalam rangka membudayakan Islam sebagai gaya hidup seharian sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama negeri dan negara.

Bahkan, Sultan Selangor telah bertindak atas kapasiti baginda sebagai ketua agama Islam di dalam negeri.

“Titah baginda bukanlah untuk mendiskriminasi golongan tertentu tetapi bagi menghormati nilai arus perdana yang diamalkan sejajar dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pembela menegaskan penternakan babi secara besar-besaran telah mendatangkan pelbagai impak kepada penduduk sekitar dan mendatangkan ketidakselesaan dari segi kesucian, kebersihan, pencemaran dan sebagainya.

Oleh itu, kawalan yang ketat harus dilaksanakan dalam isu penternakan babi ini dan mestilah jauh dari penempatan penduduk.

Malah, perhatian harus diambil berat kerana babi adalah haiwan yang merupakan najis berat bagi umat Islam yang sudah pasti ia akan memberi kesan kepada ibadah dan kehidupan orang Islam.

Dalam pada masa, Pembela juga mahu orang awam agar menjauhkan diri dari sebarang aktiviti yang tidak bermoral serta melanggar undang-undang.

Katanya, budaya songsng, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak harus dinormalisasi dalam budaya masyarakat Malaysia tanpa mengira rasa tau agama. Ia bukan nilai timur yang hendak kita amalkan.

“Dalam konsep amar maaruf nahi mungkar, baginda Tuanku telah menzahirkan untuk mencegah kemungkaran dengan lisan, pihak berkuasa perlu melaksanakan pencegahan ini dengan kuasa yang ada. Kita tidak harus hanya berdiam diri sahaja melihat kemungkaran kerana ia merupakan selemah-lemah iman,” katanya.

Zainul rijal berkata, bantahan NGO dan masyarakat Islam bukan sahaja menyokong titah Sultan Selangor tetapi disebabkan sesnsitiviti umat Islam yang selalu diusik golongan tertentu serta berasa kedudukan dan kesucian agama Islam dipinggirkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast