JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merekodkan penjanaan hasil RM1.11 juta daripada aktiviti pengkomersilan harta intelek merangkumi yuran pelesenan, sumbangan royalti dan penjualan produk pada tahun lalu.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, dalam tempoh sama, 25 produk baharu berjaya dikomersialkan manakala 22 syarikat hiliran UTM kekal aktif mengkomersialkan harta intelek universiti melalui pelesenan teknologi.
Selain itu jelas UTM, satu sesi perbincangan khas bersama syarikat hiliran UTM turut diadakan dan dimoderasikan oleh Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Ketua Taskforce Syarikat Hiliran UTM.
“Sesi tersebut menjadi platform dua hala yang konstruktif untuk membincangkan isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan berkaitan ekosistem pengkomersilan dan pembangunan syarikat hiliran universiti.
“Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan sokongan berterusan daripada universiti, penambahbaikan proses pengkomersilan, penjenamaan produk, peluasan pasaran.
“Ini termasuk peranan strategik syarikat hiliran dalam memastikan inovasi universiti yang dikomersialkan benar-benar memberi manfaat dan impak kepada industri serta komuniti,” menurut kenyataan tersebut.- MalaysiaGazette
















