Logo Polis Diraja Malaysia. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 JUN 2024.

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kes kehilangan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah di Arab Saudi pada Khamis lepas.

Laporan polis tentang kehilangan Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadia Kasumawati Abdul Karim dibuat oleh ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi ketika dihubungi Bernama berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.

Media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis.

Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) semalam.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan perkara terbabit kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menjejaki pelakon berkenaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast