KUALA LUMPUR – Puteri UMNO dilihat tidak dapat menahan kekecewaan selepas cadangan mereka khususnya berkenaan menaikkan had usia ahli kepada 40 tahun berbanding 35 tahun ketika ini, seolah-olah tidak mendapat perhatian pucuk pimpinan parti.
Ketua Penerangannya, Shamellya Norazizi berkata, usul itu sudah bertahun-tahun diperjuangkan sayap parti berkenaan namun sehingga kini masih gagal dinoktahkan.
Menurutnya, apa yang diharapkan Puteri UMNO hanyalah kata putus sama ada permohonan cadangan itu lulus atau sebaliknya namun tiada sebarang kata putus sehinggalah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 berakhir hari ini.
“Kalau usul puteri 40 tahun pun tak dipandang serius, apatah lagi kuota 30 peratus wanita itu. Betullah, diam juga tanda jawapan.
“Belum lagi kira laungan di dewan keramat yang merendahkan martabat Puteri secara langsung tanpa rasa bersalah.
“Ingatkan ada manisnya di penghujung, dapatlah sikit mengubat hati yang lara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Shamellya, selama tiga tahun Puteri UMNO berusaha memperkasa sayap parti itu dan menjadi pemangkin perubahan tetapi usaha itu seolah-olah diperlekehkan dengan mudah tanpa ada satu jawapan.
“Kalau beginilah peritnya perjuangan, Kalau beginilah namanya tauladan dan kalau ini jualah harga yang perlu dibayar untuk membawa suara akar umbi Puteri, kami akan terus memerhati dan belajar.
“Buat seluruh ahli puteri dan wanita muda yang menyakini kami, terima kasih. Dan yakinlah pada hari yang tepat, kita pasti dapat mengubah sesuatu kerana… ini zaman kita,” katanya.
Dalam ucapan dasar perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO sempena PAU 2025 kelmarin, Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mempersoalkan pendirian pucuk pimpinan parti itu yang sehingga kini dikatakan enggan memuktamadkan cadangan menaikkan had usia Puteri UMNO kepada 40 tahun berbanding 35 tahun ketika ini.
Beliau berkata, usul itu bukan bersifat emosi atau secara tiba-tiba sebaliknya mengambilkira evolusi landskap politik negara dan kelangsungan Puteri UMNO bagi tempoh 25 tahun lagi.
Dalam masa sama, Nurul Amal mempersoalkan keputusan parti itu yang dikatakan berterusan enggan mencalonkan wakil daripada sayap itu pada siri pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU).
Sehingga PAU 2025 berakhir petang tadi, kedua-dua usul yang dicadangkan Puteri UMNO itu langsung tidak disentuh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi khususnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan. – MalaysiaGazette
















