KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 3,545 keping logam emas pelbagai bentuk bernilai RM82,725 selepas mendapati kandungan emas sebenar jauh lebih rendah daripada tahap ketulenan yang diiklankan dalam satu serbuan di Pusat Perniagaan Kuchai Lama, di sini, baru-baru ini.
Serbuan tersebut dijalankan Bahagian Penguat Kuasa KPDN menerusi Operasi Khas Ops Tulen di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dengan melibatkan enam pegawai penguat kuasa ke atas sebuah premis perniagaan yang menjual produk emas melalui media sosial.
KPDN dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan menggunakan peralatan X-Ray Fluorescence (XRF) ke atas syiling emas yang dibeli oleh pegawai KPDN mendapati, kandungan emas sebenar hanyalah sekitar 77 peratus, sedangkan produk tersebut dicop dan diiklankan sebagai emas tulen AU 999.9.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, premis berkenaan merupakan pembekal kepada peruncit yang memasarkan produk emas sama di platform media sosial, dengan barangan yang dipamerkan di premis adalah serupa seperti yang diiklankan secara dalam talian.
“Ujian ke atas emas yang disita turut menunjukkan kandungan emas yang tidak seragam, iaitu antara 80 peratus hingga 98 peratus bagi setiap kepingan seberat 0.01 gram, sekali gus menimbulkan syak wasangka berlakunya pelanggaran standard ketulenan logam berharga,” demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] berkaitan perihal dagangan palsu berhubung standard ketulenan barang yang diperbuat daripada logam berharga.
Selain barangan emas, pihak penguat kuasa turut menyita beberapa peralatan dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.
“KPDN memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama barang di bawah Seksyen 5(1)(c) akta yang sama.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun,” tegasnya.

Bagi syarikat pula, denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan kedua atau seterusnya.
KPDN menegaskan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna, khususnya melibatkan penjualan barangan logam berharga.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti penipuan perdagangan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette
















