ISKANDAR PUTERI – Taktikal menyerang secara agresif menjadi senjata ampuh melemahkah psikologi pihak lawan sehingga Johor Darul Ta’zim (JDT) menang besar 10-1 ke atas PDRM FC di sini malam tadi.
Serangan bertali arus dengan intensiti tinggi itu ternyata membuahkan hasil apabila skuad Harimau Selatan berpesta gol pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.
Pengendali JDT, Xisco Munoz, melihat kejayaan anak buahnya itu sebagai permulaan yang positif dan tempoh 90 minit permainan amat ‘menekan’ pasukan pelawat.
“Kita bermula dengan sangat baik dalam satu lagi pertandingan baharu dan ia satu perkara positif.
“Kita kembali dengan idea untuk menekan sejak minit-minit awal dan bermain dengan intensiti tinggi.
“Paling penting, pemain tidak berhenti. Mereka terus bermain dari minit pertama hingga minit terakhir dan ini adalah mentaliti dan karakter yang kita perlu terus kekalkan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi berkenaan, pemain import Teto Martin muncul wira skuad Harimau Selatan itu apabila meledak enam gol (hattrik berganda) bagi membantu kemenangan pasukan.
Mengulas prestasi Teto, yang meledak enam gol dalam perlawanan itu, Munoz menyifatkannya kejayaan itu sebagai satu pencapaian yang luar biasa.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata, Teto adalah seorang penyerang kerana beliau menjaringkan enam gol.
“Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah kelab. Ia juga sesuatu yang positif apabila semua orang dalam pasukan berjaya. Saya gembira untuknya.
“Selain itu saya turut memuji persembahan pemain baharu, Nene, (Rui Felipe Da Cuhna Correia) yang turut menjaringkan gol mala mini (Ahad),” katanya.- MalaysiaGazette















