KOTA BHARU – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar penghadang jalan berhampiran kedai makan Bakso Ngosik Salor, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kemalangan berlaku pukul 12.15 pagi.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an memandu kereta jenis Proton Wira bersama seorang penumpang dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.
“Secara tiba-tiba pemandu kereta hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan yang berada di bahu sebelah kiri jalan.
“Akibat daripada itu, pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala penumpang mengalami kecederaan di bahagian badan,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk proses bedah siasat.
Siasatan berkaitan kemalangan itu dijalankan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian kemalangan itu tampil hadir untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sharif Mohd Ridhuan Bin Sharif Hassan di talian 09-7752315. – MalaysiaGazette















